Assalamualaikum,
Hari ini kita menyambut Hari Guru.Tema Hari Guru tahun ini adalah Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’. Walaupun tiada cuti umum, tapi kita tetap meraikannya. Setiap umat manusia di muka bumi ini pasti ada guru mereka, tak kiralah sama ada mereka itu pergi sekolah atau tidak.
Kalau nak cerita tentang guru ataupun selalu kita sebut cikgu, dalam hidup saya dikelilingi cikgu. Abang saya sendiri seorang ustaz, isterinya juga cikgu. Sepupu-sepupu saya juga cikgu/ustaz/zah. Hampir 80% kawan-kawan saya adalah cikgu. Pernah satu ketika saya sms ucapan hari guru kepada kawan-kawan saya, hampir separuh dalam senarai phonebook saya..
Cikgu adalah satu pekerjaan yang cukup mulia. Jika ada pepatah mengatakan Guru ibarat lilin membakar diri untuk menerangi, tapi saya kurang bersetuju. Sebenarnya guru adalah matahari, ia menerangi seluruh alam ini dengan kemampuannya. Jika dahulu (zaman sebelum dan awal-awal kemerdekaan) kerjaya cikgu ini cukup hebat. Sesiapa saja yang jadi cikgu, satu kampung akan hormat. Ramai orang tua kampung berkenan untuk bermenantukan cikgu.
Dahulu juga, cikgu merupakan salah satu insan yang penting selepas ibubapa. Cikgu diberi hak untuk mendidik anak mereka, malah boleh dipukul bantai. Jika mengadu kepada ibubapa, kena bantai lagi dengan ibubapa. Begitu hormatnya orang dahulu dengan cikgu.
Tapi kini kerjaya guru/cikgu hanya sekadar mengajar anak-anak belajar. Dan kadang kala, ianya diletakkan sepenuhnya di bahu cikgu itu sendiri. Kalau anak tu tak pandai, nakal, ada ibubapa akan menyalahkan cikgu. Jika anak melakukan kesalahan di sekolah dan dipukul cikgu, ibubapa akan saman di mahkamah.
Namun ada juga cikgu yang salah, mungkin mereka bertindak mengikut emosi. Tapi jika difikirkan semula, mereka berkerja berhadapan dengan karenah anak-anak zaman sekarang yang boleh dikatakan agak sukar dibentuk. Mungkin kerana faktor pemakanan zaman sekarang agaknya. Saya sendiri dapat lihat kanak-kanak sekeliling saya zaman ini agak berbeza dengan kanak-kanak zaman saya dulu.
Kadang kala saya terfikir, kerjaya sebagai guru zaman ini hanyalah sebagai kerjaya terakhir bagi seseorang. Jika dahulu, seorang yang ingin menjadi cikgu untuk mendidik anak bangsa. Tapi kini, seolah-olah mereka hanya nak bekerja di sektor awan. Masa depan terjamin kata mereka. Mengapa saya katakan begitu? Ini kerana sebelum mereka memohon KPLI, selepas graduasi, mereka memilih untuk bekerja di sektor swasta dengan harapan dapat gaji yang lumayan. ada juga yang berkeja dengan sektor awam, tapi status jawatan kontrak. jadi pilihan terakhir, mohon KLPI. Ada sesetengahnya, memohon hampir 5 kali, barulah diterima. Namun apa yang saya ceritakan di sini, hanya berlaku pada segelintir cikgu-cikgu sahaja. Bukan semua cikgu lepasan KLPI atau Diploma Pendidikan bersikap demikian.
Sebenarnya, saya agak simpati dengan kerjaya seorang guru ini. pada anda yang bukan cikgu, mungkin anda berfikir, kerjaya ini, banyak cuti, kerja tidak mengikut waktu pejabat, jam 2 dah boleh berehat di rumah. Tapi sebenarnya, seorang guru semakin terbeban sekarang. banyak tugas-tugas yang tak sepatutnya mereka lakukan, terpaksa mereka lakukan. Hinggakan ada masanya, terpaksa menyelesaikannya di rumah.
Tapi apa yang istimewanya dengan kerjaya cikgu ini, gelaran cikgu akan kekal hingga akhir hayatnya. Ada orang berbangga kerjaya sebagai peguam, arkitek, jurutera dan sebagainya. Tapi kita perasan atau tidak, tak pernah pula masyarakat menganggil seorang peguam itu dengan gelaran peguam, contohnya orang itu bernama Ali, orang ramai tidak memanggil beliau dengan gelaran PEGUAM ALI, atau ARKITEK ALI, atau JURUTERA ALI. Tapi, jika Ali seorang guru, orang pasti akan memanggil beliau CIKGU ALI. Begitulah istimewanya kerjaya ini. Saya rasa, sepatutnya kita mengangkat kerjaya ini setanding dengan profesion lain dan mempuyai gelaran sendiri seperti Doktor (DR). Maksud saya, jika dalam surat menyurat, atau apa-apa majlis rasmi, jika seorang doktor akan digelar DR, contohnya DR ALI, tak salah rasanya jika seorang cikgu diletakkan gelaran CG ALI.(maksudnya Cikgu Ali). Apa padangan anda tentang perkara ini?
Berbalik pada kisah cikgu dalam hidup saya, perkara yang paling unik adalah, semua cikgu kelas saya adalah wanita. dari sekolah rendah hinggalah sekolah menengah. Apa khabar agaknya cikgu-cikgu berkenaan. Berikut saya senaraikan nama-nama cikgu kelas saya:
- Cikgu Rubiah (tahun 1 )
- Cikgu Lee (tahun 2,ajar english)
- Cikgu Zubaidah ( cikgu ni sepupu jiran saya, jadi tahun tu dia kahwin, saya yang kecohkan..haha)
- Cikgu Norshahidah (waktu tu masih anak dara, tapi dia punya garang, mak aih..)
- Cikgu Cheng (cikgu ni memang cun walaupun dah kahwen. setiap hari jumaat dia pakai kebaya)
- Cikgu Delly (cikgu ni melayu, tapi nama penuh dia pelik sikit, ajar English dan seni)
- Ustazah Badariah (ustazah yang kena ajar pend seni juga. last saya jumpa dia 12 tahun lalu)
- Ustazah Sariah (orang kampung saya, mengajar Sorof)
- Ustazah Ainon (lupa pula apa yang dia ajar tapi bahasa arab la, hahahah)
- Cikgu Paravathy (cikgu ni ajar math. saya duduk depan meja dia, bila buat latihan, saya pinjam buku budak cina..hahaha)
- Cikgu Aida (pas kahwin dia ikut suami dia ke UK, sambung study, badan baik ni..hahaha)
Inilah antara cikgu-cikgu yang pernah menjadi guru kelas saya. Di mana mereka sekarang, tak tahu lah. Memang sudah ada yang pencen, menjaga cucu. Ada juga yang masih berkhidmat mendidik anak-anak bangsanya. Ada juga yang telah naik pangkat jadi pensyarah atau berkhidmat di JPN.
Pernah orang bertanya kepada saya, "awak ni cikgu ke?" Kadang-kadang saya pelik, adakah karektor saya seperti seorang cikgu. Kalau orang yang saya baru kenal dan mungkin tak akan bertemu lagi, saya jawab iya..hahaaha
Pernah juga saya dipanggil cikgu oleh bekas murid rakan saya yang merupakan seorang cikgu. waktu kami sedang "ngeteh", datang bekas muridnya. sampil berbual, budak berkenaan memanggil saya cikgu. Pada mulanya saya tak perasan. Saya sangkakan dia memanggil rakan saya, bila saya menoleh ke arahnya, dia bertanya soalan kepada saya.
Itu bukanlah satu-satunya kisah saya dipanggil "cikgu". Ada lagi kisah lain, tapi tak perlulah saya nak ceritakan di sini. nanti jemu pula anda membacanya.
Rasanya sudah panjang saya menaip. jadi kesimpulannya, sejauh mana pun kita melangkah, sehebat mana pun kerjaya kita, ingatlah pada cikgu yang mula-mula mengenalkan kita dengan huruf ABC, 123, alif, ba, ta. Apatah lagi dengan ilmu-ilmu yang lebih berguna selepas itu.
Kepada warga-warga pendidik di luar sana, berbaktilah dengan penuh keikhlasan, dan bukan bekerja kerana nak kerja tetap dengan gomen saja..hahahah. Ingatlah, ilmu yang anda curahkan itu, jika diamalkan dan terus diamalkan di jalan yang baik, pahalanya akan terus anda peroleh walaupun jasad anda dimamah bumi.
Akhir kalam, SELAMAT HARI GURU kepada semua guru-guru yang telah mendidik saya. Juga kepada semua kaum keluarga saya dan rakan-rakan saya yang tanpa penat lelah mendidik anak bangsa bergelar......
CIKGU
TERIMA KASIH CIKGU!!!!
No comments:
Post a Comment