jom baca

Thursday, February 2, 2012

SEBAB DATANGNYA UJIAN KE ATAS MANUSIA




Allah menguji manusia atas sebab-sebab yang berbeza. Berdasarkan sebab-sebab itulah letaknya kemuliaan atau kehinaan seseorang manusia.
Rasulullah SAW bersabda:
Ujian yang berlaku kepada manusia samada memuliakannya atau menghinakannya.

Ada tiga sebab mengapa Allah menguji manusia:
Kifarah?

 Bala?
 Ibtila’?


1 Kifarah.
Kifarah adalah ujian ke atas orang yang baik tetapi terlanjur melakukan kejahatan. Maka ketika itulah dia diuji. Allah jadikan kesusahan dalam ujian itu sebagai ‘tebusan’ untuk menghapuskan dosa dan ketelanjurannya. Ertinya, Allah membalas kesalahannya di dunia untuk melepaskannya daripada dibalas di akhirat. Ini adalah lebih baik kerana azab di dunia adalah lebih ringan berbanding azab di akhirat.

Ringkasnya, kifarah ialah ujian untuk ‘orang baik yang terbuat jahat’. Dengan ujian itu, ‘orang baik’ tersebut akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan ketelanjurannya lalu berusaha untuk bertaubat kepada Allah.

Firman Allah:
Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.(43:48 )

2 Bala
Bala adalah ujian ke atas orang jahat yang melakukan kejahatan. Allah jadikan ujian sebagai hukuman Tuhan di dunia sebelum dihukum lebih berat di akhirat. Dengan kemurkaan-Nya Allah turunkan kepedihan dan kesengsaraan di dunia lagi sebelum orang itu diazab di neraka. Orang yang begini akan disiksa dua kali, pertama di dunia, kedua di akhirat.

Rengkasnya, bala ialah bentuk ujian ke atas ‘orang jahat yang buat jahat’. Umat Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir, Fir’aun yang ditenggelamkan di laut Merah, Namrud yang dibunuh nyamuk, Qarun yang ditelan bumi adalah diantara mereka yang ditimpa bala di dunia lagi sebelum disiksa di akhirat.

Firman Allah:
Itulah hukuman dunia yang ditimpakan atasmu maka rasakanlah hukuman itu. Sesungguhnya bagi orang kafir itu ada lagi azab neraka.(8:14)
Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat. (9:74)

3 Ibtila’.
Ibtila’ adalah ujian ke atas orang baik ketika melaksanakan kebaikannya. Ia adalah tanda kasih-sayang Tuhan kepada hamba-Nya yang taat. Justeru dengan ibtila’ hamba itu akan mendapat pahala dan ditinggikan derjatnya disisi Allah. Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, redha, pemaaf, qanaah dari Tuhan? Dengan ujian bentuk inilah ada dikalangan para Rasul ditingkatkan ke derjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.

Ringkasnya, ibtila’ ialah ujian keatas ‘orang baik yang buat baik’. Golongan para Nabi, siddiqin, syuhadak dan solehin adalah mereka yang sentiasa diuji dalam bentuk ibtila’ ketika menegakkan kebenaran.

Firman Allah:
Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagaimana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, yaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: Bilakah datangnya pertolongan Allah? Al Baqarah: 214

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya.
Dalam keadaan berdosa, ujian didatangkan sebagai pengampunan.
Dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat dan memberi pahala...

wallahua'lam..

No comments: