jom baca
Thursday, May 19, 2011
NAK CERITA SIKIT PASAL NUR KASIH THE MOVIE
Hari ini tayangan pembukaan filem yang ditunggu-tunggu rakyat Malaysia iaitu Nur Kasih The Movie. Filem ini seperti yang ramai ketahui adalah kesinambungan kepada drama bersiri 26 episod.
Saya menonton persembahan pertama pada jam 12 tengahari tadi. Tak berapa ramai orang. Mungkin faktor hari bekerja. Tapi ramai juga awek-awek UTM yang hadir menonton. Promo filem ini di TV sememangnya bisa membuatkan saya teruja untuk menontonnya. Komen yang diberikan oleh media massa amat positif. Lebih-lebih lagi drama bersirinya dapat menarik 19juta penonton. Malah, episod akhir saja menarik 5juta penonton.
Dalam pawagam, hampir semua tempat duduk dipenuhi dengan kaum hawa. kalau ada lelaki pun datang menemani isteri atau pun awek. Saya seorang saja yang hadir seorang diri
Filem ini dimulakan dengan penceritaan oleh Dato' Rahim Razali yang membawa watak Aidil ketika usia 70-an.
Seperti yang kita ketahui, sinematografi dalam karya Kabir Bhatia memang mengagumkan. Masih mengekalkan lokasinya di Kampung terutama rumah Hajjah Khadijah dan juga di Jordan. Sememangnya filem ini menyentuh emosi penonton. Namun saya perhatikan, banyak watak-watak dalam drama, tiada dalam filem ini seperti keluarga Nur Amina. Namun, itu tidak mencacatkan plot cerita ini. Filem ini lebih menumpukan kepada 3 watak utama, Aidil, Adam dan juga Nur. Bagaimana mereka mengharungi ujian Allah.
Apa yang menyentuh hati saya, bagaimana Aidil menghadapi kehidupan sebagai bapa tunggal setelah kematian isternya dalam 1 kemalangan. Kesengsaraannya tika ia mengimbau kembali saat manis bersama Aliyah dan anak-anak. Sememangnya ia cukup menyentuh hati, sedang pula perasaan saya waktu ini masih berdukacita.
Aidil mempunyai sepasang cahaya mata. Manakala Adam dan Nur masih lagi berusaha. Di awal-awal cerita, nampak kegembiraan ketika Nur menyampaikan berita kehamilannya. Tapi kegembiraan itu hanya seketika. Ujian merapati kembali pasangan itu dia mana Nur keguguran. Ini membawa mereka ke Tanah Suci dan kemudian bercuti di Jordan. Di sinilah bermula konflik yang sebenar. Mereka terlibat dalam kemalangan keretapi. Adam yang kaget melihat istrinya terbujur kaku, berdoa kehadrat Ilahi agar tidak mengambil nyawa isterinya tika itu, tapi sanggup berserah apa saja. Tatkala mendengar suara Nur memanggil namanya, dia segera mendakap isterinya.
Di Hotel, apabila mendapati cincin pernikahan mereka tiada di jari Nur. Adam kembali ke kawasan kemalangan untuk mencari cincin itu. Ribut pasir datang melanda, dan Adam hilang. Nur berusaha mencari suaminya, dan hadir Aidil di bumi Jordan membantu adik iparnya. Mereka dapat menemui Adam yang telah diselamatkan oleh penduduk di situ.
Di Tanah air, Adam didapati menghidapi masalah jantung akibat dari kesan kecederaan ketika menjadi tebusan dalam pengeboman di Mumbai (ikuti drama bersiri). Dalam keadaan putus harapan, isterinya memberi semangat bahawa waris mereka akan hadir melihat dunia. adam perlu dibedah jika ada penderma. Dalam hidup yang penuh ujian, mereka tabah menghadapinya hinggakan terpaksa pulang ke kampung.
Sebelum terlupa, Adam dan Nur mengendalikan kelab anak-anak dan remaja di mana mereka membimbing remaja-remaja yang hilang arah ke jalan yang benar selain terus menguruskan firma arkitek milik mereka. Salah seorang remaja yang mereka bentuk, Mamat semakin dekat dengan agama. Namun, tatkala Adam menderita sakit, Aidil mengambil alih tugas mengajar anak-anak berkenaan.
Ketika Adam sedang bergelut dengan penyakitnya dan hampir di ambang maut, Aidil pula menghadapi konflik dengan seorang remaja lakonan Shafie Naswip. Aidil dibelasah, dan datang Mamat membantu. Mamat akhirnya terbunuh setelah dibelasah oleh Shafie.
Penonton tertanya-tanya apakah nasib Adam. Setibanya di hospital, Aidil memberitahu Nur, bahawa sudah ada penderma untuk Adam. Begitulah sedikit kisah filem ini. Jika anda nak tahu kesudahannya, pergilah menonton di pawagam.
Selebihnya, sebagai penonton, saya perhatikan semua penonton di pawagam, begitu khusyuk menantikan setiap babak yang akan hadir seterusnya. Tapi, plot-plotnya agak pendek. Mungkin kerana mengejar masa atau lebih tepat, ianya telah dihimpunkan dalam sebuah filem, tidak seperti dalam drama.
Runut bunyinya juga tidak mengecewakan. Solekan setiap pelakon nampak begitu jelas, hinggakan boleh kelihatan dalam beberapa babak. Apa yang boleh saya katakan di sini, filem ini menjawab segala persoalan penonton dalam apa yang dipaparkan di TV dan membawa mesej kasih sayang yang cukup tinggi. Selain itu juga, sebagai hambaNya, kita perlu tabah dan beersabar dengan setiap dugaan yang terlah diturunkan pada kita.
Saya juga tersentuh dengan watak Hajjah Khadijah lakonan Liza Othman. Watak seorang ibu yang cukup tenang menghadapi setiap ujian menimpa dirinya dan anak-anak. Setiap anak mahupun ibu yang nenonton filem ini pasti akan tersentuh dan dapat merasai perit jerih kehidupan seorang ibu.
Keseluruhan filem ini memuaskan. Cuma mungkin agak lembab sedikit. Tapi ia pasti akan memainkan emosi anda hingga ke akhir filem. Nasib baik juga saya bijak mengawal emosi, maklumlah, jiwa ini pun sedang kacau. Jadi, bawalah keluarga anda menonton filem ini. Dalami setiap mesej yang cuba disampaikan penulis.
Sekian
Bahtera Hidup
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment