jom baca

Friday, November 11, 2011

JOM PERGI UMRAH!!!

Gambar ini saya ambil pada malam Jumaat terakhir di Makkah

Kali ini saya nak cerita sedikit tentang pengalaman umrah. Mungkin ada sedikit tips yang boleh dikongsi bersama. Kalau nak katakan sambungan dari posting Kenangan Umrah 1, mungkin juga. Tapi ia lebih kepada tips agaknya.

Apabila bercerita tentang ibadah umrah ini, tentu semua orang berhajat hendak menjadi tetamu Allah. Tapi banyak kekangan yang dihadapi. Ada yang berkemampuan dari segi wang ringgit, tapi seolah-olah belum bersedia untuk menjadi tetamu Allah. Ada yang telah lama bersedia, tapi ada saja dugaan lain. Bak kata orang belum sampai seru.

Ia juga terjadi pada saya. Saya telah bersedia sejak tahun 2005 lagi, tapi diizinkan Allah menjadi tetamuNya pada Februari lepas. Alhamdullillah, semuanya berjalan lancar.

Apa yang menariknya, kumpulan yang saya sertai itu merupakan kumpulan pertama mengerjakan umrah untuk musim ini. Ini kerana selepas musim haji tahun lepas, Kerajaan Arab Saudi telah membekukan semua visa umrah atau ziarah. Mengikut jadual, saya sepatutnya berangkat pada Disember 2010, kerana pembekuan visa, ia ditangguhkan.

Ramai kenalan dan teman-teman meminta saya berkongsi pengalaman pertama ke tanah suci. Mereka teruja mendengar kisah saya. Antara soalan-soalan yang mereka ajukan, tiada apa-apa kejadian pelik ke apabila di sana?

Sepanjang ssaya di sana, tiada apa yang pelik berlaku. Bukanlah tiada langsung, tapi tiada yang ekstrem. Mungkin kita terlalu banyak mendengar cerita orang atau membaca majalah-majalah yang menceritakan kisah-kisah pelik di tanah suci. Pada saya, perkara-perkara inilah yang membuatkan kita takut untuk mengejakan umrah. Ada teman yang berhajat untuk menjadi tetamu Allah tapi belum bersedia kerana beliau mengatakan terlalu banyak dosa. Adakah dia nak buat dosa puas-puas baharu nak bertaubat di tanah suci? Atau mungkin beliau takut menerima musibah ketika di tanah suci? Wallahua'lam. Kita anggap sahaja beliau belum dapat seru.

Tapi kita perlu ingat, kita akan tempuhi ujian dariNya setiap masa untuk melangkah ke tanah suci. Menempuh perjalanan yang panjang. mungkin ada yang sudah biasa melancong ke Eropah atau Australia, perjalanan lebih panjang. Tapi pada saya yang pertama kali menempuh perjalan jauh ini, memang memenatkan. Sejujurnya, saya belum pernah keluar jauh dari ASEAN. Belum pernah menempuh perjalanan yang panjang seperti ini.

Sebelum kita berangkat mengerjakan umrah, persedian yang perlu kita buat adalah persediaan rohani. perbanyakan ibadah, sedekah. Kalau tak tahu atau tak pernah solat jenazah, belajarlah atau bertanya kepada yang pandai. Kerana di Mekah dan Madinah, setiap waktu ada solat jenazah selepas solat waktu.

Selain itu, kalau nak bawa duit belanja tak perlu bawa duit tunai yang banyak. Macam mana pula nak belanja jika tak perlu bawa duit banyak? Berapa yang berlu dibawa? Sememangnya setiap tempat baru yang kita sampai, pasti kita nak membeli belah serba sedikit untuk keluarga atau teman-teman yang ditinggalkan. Bukanlah maksud saya tak perlu bawa duit banyak. Anda boleh bawa berapa banyak duit yang anda mampu. Tapi tak perlu bawa tunai yang banyak.

Anda boleh buka akaun Al-Rajhi Bank. Bank ini berpusat di Arab Saudi. Jadi di sana nanti, anda boleh mengeluarkan duit di rangkaian ATM yang terdapat di merata tempat. Katakanlah anda ingin membawa RM2000 untuk perbelanjaan di sana. Anda bawa tunai RM1000, selebihnya anda simpan di akaun tersebut. Tukaran matawang ringgit kepada riyal tak banyak beza. Hanya beberapa sen saja. Di sana nanti anda boleh cucuk duit di ATM, dan keluar duit Riyal. jangan terkejut tatkala di ATM nanti, akan ada pilihan bahasa Melayu.

Melihat Kaabah

Ketika pertama kali sampai di Mekah dan melihat Baitullah, hati saya cukup terharu. Bergenang air mata saya. Selama ini kita hanya lihat di dalam buku, tv malah di atas sejadah saja. Tapi kali ini ia betul-betul berada di hadapan mata. Tak dapat nak gambarkan di sini. Anda harus alaminya sendiri. Mujur juga kumpulan ini merupakan kumpulan pertama, jadi jemaah masih belum membanjiri kota suci tersebut. Di sana, anda akan bertemu pelbagai bangsa dan pastinya kita semua bersaudara.

Sampai di Mekah jam 11 malam, selepas daftar masuk ke hotel, terus mengerjakan umrah yang dipimpin oleh mutawwif berasal dari Lombok. Selesai umrah jam 2pagi. Saya memang bertekad untuk membotakkan kepala. Tak ada masalah jika nak bercukur atau gunting rambut di sana kerana kedai gunting rambut dibuka 24jam. Ia diusahakan oleh pendatang daripada Pakistan ataupun India. Sampai saja di muka pintu kedai tersebut, cakap saja BOTAK! Mereka akan faham.

Apa yang menariknya, mereka membotakkan kepala saya hanya dalam 5MINIT saja. Jika di Malaysia, tukang gunting akan menipiskan dahulu rambut kita menggunaan mesin, kemudian baharu dicukur. Tetapi, di Mekah, mereka hanya menggunakan pisau cukur sahaja. tiada gunting langsung (hanya untuk membotakkan kepala). Caranya, mereka akan melumurkan rambur kita dengan shampoo terlebih dahulu, kemudian terus cukur menggunakan pisau cukur pakai buang. Sekelip mata saja jadi botak!!

Ada juga yang bertanya kepada saya, makan di sana macam mana?  Usah risau tentang makan. Sememangnya pakej umrah yang anda bayar telah termasuk dengan makan. Makanan pula mengikut selera kita, masakan melayu. Tapi kalau nak merasa makan masakan arab, seperti nasi arab, kebab boleh didapati dengan mudah. KFC pun ada, tapi pada saya agak mahal berbanding di Malaysia

KFC di Mekah, tak jauh dari Masjidilharam


Tapi restoren di sekitar Mekah khususnya berhampiran Masjidilharam tiada meja seperti kebanyakan restoren. Biasanya akan bungkus dan makan di mana-mana saja. Tak ada orang kisah. Saya sendiri cuba merasai pengalaman tersebut. beli sebuku burger (mahal juga burger di sana) dan makan di tepi gerai tersebut.

Malah di salah sebuah pusat membeli belah di sana (tempat membeli belah eksklusif) jemaah juga makan di mana-mana, hatta di hadapan kedai. Pemilik kedai hanya membiarkan saja.

makan di mana-mana hinggakan depan pintu lif. 


Simpan duit untuk ke tanah suci

Kita sering lihat teman-teman atau keluarga melancong di dalam atau ke luar negara. Kadang-kadang kita sendiri terfikir, banyak juga duit mereka ni. Boleh bercuti seisi keluarga. Tapi sudah pasti mereka ini telah merancang percutian dan perbelanjaan mereka terlebih dahulu.

Begitu juga jika kita ingin mengerjakan ibadah umrah. Purata pakej umrah berharga RM5500. Ia bergantung kepada pakej yang kita ambil. Selain itu kita akan berada di tanah suci dalam 12-14 hari. Pakej tersebut termasuklah penginapan dan makan 3x sehari.

Sesetengah orang ingin pergi mengerjakan umrah tapi kekangan perbelanjaan merupakan faktor utama. Selain itu, masa berada di tanah suci agak lama, agak sukar untuk meninggalkan pekerjaan mereka.

Jika kita bersungguh-sungguh untuk mengerjakan umrah, kita bolehlah ke agen-agen umrah. Lihat-lihat dahulu pakej yang ditawarkan. Tentang duit untuk bayaran pakej berkenaan, ada beberapa cara yang boleh saya cadangkan.

Pertama, anda boleh membayar sedikit-sedikit. Atau dengan maksud lain, anda boleh 'menyimpan' di syarikat pelancongan tersebut. Contohnya, jika anda merancang untuk pergi pada Julai 2012, anda boleh menempah pakej pada tarikh berkenaan, dan mula buat pembayaran secara berperingkat. Katakan lah, sebulan sebelum tarikh berangkat, anda masih belum melunaskan bayaran keseluruhan, anda boleh tangguh tarikh berangkat. perkara ini anda boleh bincangkan dengan syarikat pelancongan atau agen-agen umrah.

Kedua, anda boleh jadi ketua rombongan umrah. Anda boleh kumpulkan rakan-rakan atau sanak saudara yang ingin mengerjakan umrah. Dapatkan maklumat mereka, dan daftarkan mana mereka di syarikat pelancongan. Tetapi sebelum itu, anda dapatkan maklumat pakej dan peralanan di syarikat tersebut. Apa kelebihan menjadi ketua rombongan umrah? Kebiasaannya, syarikat akan memberi anda pakej umrah percuma. Tapi setiap syarikat berbeza syaratnya. Misalnya, anda perlu mengumpulkan 30 jemaah dalam kumpulan anda, dan anda akan diberi pakej percuma. Sebab itu saya katakan, anda perlu ke syarikat pelancongan terlebih dahulu.

Anda tak perlu risau jika ia merupakan kali pertama anda mengejakan umrah. kerana pihak syarikat telah menyediakan mutawwif dan wakil syarikat di tanah suci. Malah, segala urusan dari tanah air hingga ke tanah suci juga mereka uruskan.

InsyaAllah, jika keazaaman anda untuk menjadi tetamu Allah kuat, segalanya akan dipermudahkan.

 Cuma, waktu ini baharu selesai musim haji dan kebiasaannya Kerajaan Arab Saudi akan membekukan visa ziarah dan umrah. Ini adalah untuk kerja-kerja membersihkan kota suci Makkah.

Tetapi, jika bulan Disember ini visa ziarah dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi, pakej umrah biasanya agak mahal sedikit. Bulan Disember merupakan musim sejuk di sana. Manakala sekitar bulan April hingga musim haji, cuaca begitu panas. Ada rakan-rakan yang mengatakan, suhu agak panas hinggakan ingin mandi pada waktu siang pun tak boleh kerana air yang keluar dari kepala paip terlalu panas. Biasanya mereka akan menadah air dalam baldi dan biarkan ia sejuk, dan mandi di waktu malam.

Beza visa ziarah dan visa umrah.

Visa ziarah adalah visa yang membolehkan kita keluar dari Madinah dan Makkah. Maksudnya, jemaah boleh ke Thaif dan beberapa tempat lain.  Visa ini agak terhad dan dikeluarkan pada waktu-waktu tertentu sahaja. Kebiasaannya selepas musim haji.

Visa umrah pula merupakan visa yang biasa diperoleh untuk mengejakan umrah. Visa ini terhad untuk ke kota Madinah dan Makkah sahaja. ianya dikeluarkan sepanjang masa mengikut kehendak kerajaan dan selain musim haji.

Jadi, mulakan langkah anda untuk menjadi tetamu Allah sekarang. Tiada yang mustahil, kecuali tanpa keizinanNya. Mulakan perancangan anda sekarang.

1 comment:

Mrs. M said...

Salam Encik~ sy ada sedikit persoalan yang nak ditanya. Boleh xsy dapatkan email Encik atau Encik email sy? ayu.qsurveyor@gmail.com